Jangan Hukum Awal Harimau Malaya - KJ


SEPANG - Amat tidak wajar untuk menghukum dan membuat kesimpulan terhadap skuad Harimau Malaya semata-mata kerana satu kekalahan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 Rabu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana jurulatih Nelo Vingada mempunyai masa yang singkat untuk membentuk skuad kebangsaan bagi berdepan pasukan yang menghuni tangga ke-135, Lebanon.

Bagaimanapun, beliau yakin masa depan bola sepak negara bakal kembali menyinar di bawah jurulatih kelahiran Portugal itu termasuk barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita kena bagi masa kepada perubahan yang dibawa jurulatih dan FAM. Jangan kita terlalu cepat membuat kesimpulan dengan mengeluarkan komen-komen negatif terhadap pasukan kebangsaan kita.

“Kena ingat dia (Vingada) tak banyak masa untuk sediakan pasukan. Saya juga ada menonton perlawanan tersebut sepenuhnya di televisyen. Saya tengok pada babak pertama sebagai contoh...banyak perubahan positif.

“Permainan yang kemas, tenang, organisasi yang baik serta berdisiplin tinggi. Ini memberi gambaran masa depan pasukan kebangsaan kita.

“Ranking Lebanon pun jauh lebih tinggi daripada kita. Kita perlu positif dalam hal ini dan jangan buat kesimpulan terlalu awal...kata kita sudah gagal dan sebagainya,

“Perubahan tak datang dengan cepat atau mudah. Kita bagi masa. Saya positif dengan perlawanan pertama pasukan kebangsaan di bawah jurulatih baharu,” ujar Khairy.

Beliau ditemui selepas meninjau persiapan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN kesembilan (KL 2017).

Rabu lalu, Malaysia yang menghuni ranking ke-155 dunia, tumpas 2-1 di saat akhir kepada Lubnan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Ia merupakan perlawanan pertama Harimau Malaya di bawah kendalian Vingada yang dilantik oleh FAM pada 15 Mei lalu.

Sementara itu, mengulas berhubung perkembangan positif skuad bawah 22 (B-22) kebangsaan dalam jelajah China, Khairy berharap momentum tersebut dapat dikekalkan sehingga berlangsungnya Sukan SEA pada 19 hingga 30 Ogos ini.

“Kita ada dua bulan lagi... dan yang penting, adalah pemain sampai kepada kemuncak prestasi pada temasya Sukan SEA nanti,” katanya.

Pada aksi pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tewas 0-1 kepada B-22 China, diikuti terikat 2-2 dengan simpanan kelab Liga Super China, Guangzhou R&F FC sebelum menang selesa 3-0 ke atas skuad simpanan Guangzhou Evergrande semalam.

Sumber : Utusan Online