Jerusalem's Jubilee: GB4B, PAS Melaka Buat Lapor Polis


AYER KEROH - Gerakan Belia 4B Malaysia membuat laporan polis bagi membantah penganjuran 'Himpunan Jerusalem Jubilee' yang bakal berlangsung di Melaka, pertengahan bulan ini.

Presiden, Mohd Nizam Omar, berkata program 'All Malaysian Golden Gate Revival Convocation' (AMGGNRC) yang dijadual diadakan pada 15 hingga 18 Jun di sebuah gereja di Taman Teknologi Cheng, di sini, mengundang keresahan terutama dalam kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, katanya, gerakan berkenaan membantah sekeras-kerasnya program bersempena Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Jerusalem yang menjadi viral di media sosial sejak semalam.

"Kewujudan negara haram Israel tidak pernah diiktiraf oleh Malaysia, sekali gus membangkitkan kemarahan rakyat negara ini, terutama ahli GB4B.

"Ada pihak cuba menyebarkan fitnah dengan mengatakan kerajaan Melaka membenar dan mengeluarkan permit, termasuk memberi dana bagi menjayakan penganjuran program ini.

"Kita mendesak pihak berkuasa supaya segera menyiasat usaha penganjur sekiranya mahu ketenteraman dan keamanan negara berterusan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Selain GB4B, Pesuruhjaya PAS negeri, Kamaruddin Sidek turut membuat laporan sama di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Kaba.

Kamarudin ketika ditemui meminta pihak polis menyiasat dalang di sebalik penganjuran itu.

"Jika kerajaan negeri sudah menolak perhimpunan ini, jadi ada pihak yang cuba cetuskan suasana tidak harmoni serta menyentuh sensitiviti umat Islam," katanya.

Sumber: BH Online