JKDM Kedah Pergiat Usaha Perketatkan Kawasan Sempadan


ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kedah akan memperketatkan kawasan dan pemantauan di kawasan sempadan pada sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, tindakan tersebut sememangnya menjadi sebahagian daripada tugasan mereka dan penguatkuasaan secara berterusan perlu bagi membendung segala tindakan yang melanggar undang-undang.

"Kita tidak membuat pemantauan berkala sebaliknya secara berterusan, bagi memastikan prosedur kawalan dapat dikuatkuasakan serta mencegah penyeludupan atau barangan yang tidak mendapat kelulusan dan tidak menepati permit import.

"JKDM tidak akan bertoleransi, jika tiada permit import (AP), kita akan terus tahan dan siasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kastam Prihatin di Taman Seri Bayu dekat sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai persetujuan Kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, daripada 18 jam kepada 24 jam.

Beliau berkata, pihak JKDM Kedah sentiasa dalam keadaan bersiap siaga khususnya dari segi tenaga kerja.

"Terdapat 651 warga JKDM Kedah termasuklah 120 anggota penguatkuasaan, kita bersedia dan hanya menunggu pengumuman rasmi," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Kerajaan Thailand bersetuju dengan cadangan tersebut dan pintu sempadan akan mula beroperasi 24 jam bermula pada pada 1 Januari 2019, iaitu selepas fasa kedua ICQS siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2018. - Kedahnews.com