Jualan 72 Jam 10,000 Kasut Terpakai Berjenama


IPOH - Sebanyak 10,000 kasut terpakai berjenama antarabangsa dijual kepada orang ramai dalam jualan mega selama 72 jam tanpa henti bermula kira-kira 9 pagi Jumaat anjuran Global Rare Shoes di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT).

Pemilik bersama Global Rare Shoes, Muhamad Fahimie Zainul berkata semua kasut berkenaan dijual dalam lingkungan harga antara RM30 hingga RM900 bergantung kepada jenama dan kualitinya.

Katanya, antara kasut terpakai berjenama antarabangsa yang dijual adalah Red Wing, Dr Martens, Clarks, Adidas, Nike, Vans, Birkinstock dan sebagainya.

"Kasut-kasut ini kami dapatkan dari Kemboja secara pukal dan kami jual mengikut kualiti dan keadaan kasut berkenaan untuk pelbagai peringkat umur," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau yang telah memulakan perniagaan sejak 2012 berkata selain kasut terpakai, pihaknya turut menjual barangan lain termasuk beg dan baju sejuk.

Sementara itu, seorang lagi pemilik bersama Global Rare Shoes, Ahmad Tarmizi Ghafarullah berkata, penjualan selama 72 jam tanpa henti yang dibuat di PORT bertujuan memberi peluang kepada semua golongan berkunjung sekali gus memiliki kasut yang dijual.

"Sebelum ini pun kita guna cara sama kerana bukan semua orang akan membeli pada waktu yang sama. Jadi kita tampilkan kelainan seumpama ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Tarmizi berkata selain Perak beliau juga menjalankan operasi perniagaan sama di beberapa tempat lain seperti di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang serta Selangor dan sambutan sangat menggalakkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya akan berada di Dewan Besar Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang dan Dewan Beringin, Seri Gombak, Selangor bagi penganjuran program sama selama 120 jam tanpa henti bermula Selasa depan.

"Kita harap orang ramai di sekitar kawasan itu berkunjung ke tempat kami bagi mendapatkan kasut yang sesuai untuk dipakai sempena Aidilfitri yang bakal tiba," katanya.

Sumber : Mstar Online