Kami Tak Curi Lagu Aisyah - Projector Band


KUALA LUMPUR - Single ketiga Projector Band berjudul Aisyah yang mula diperdengarkan kepada peminat sebulan lalu sudah mula mendapat tempat di hati pendengar biarpun mereka belum lagi menjalankan promosi.

Namun di sebalik lagu Aisyah yang merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh gitaris kumpulan terbabit, Angah, sebenarnya ada cerita yang kurang enak.

Angah atau nama penuhnya Razif Zainuddin berasa terpanggil untuk sekali lagi membetulkan kekeliruan yang pernah timbul sebelum ini.

Terdahulu, Projector Band menerima kecaman daripada ramai pihak kerana dikatakan mencuri lagu orang lain yang dinyanyikan oleh jejaka dari Sabah.

“Lelaki itu sudah pun memohon maaf dan saya pun tak salahkan dia seratus peratus. Malah berterima kasih kerana berminat untuk nyanyikan lagu itu.

“Asalnya, lagu Aisyah itu kami muat naik pada tahun 2013 yang saya cipta sewaktu bersama dengan kumpulan Satu Band. Tetapi lelaki terbabit menyanyikan lagu itu semula dan memuat naik di Youtube tanpa meletakkan kredit penyanyi asal,” katanya.

Malah,  apa yang membuatkan Angah terkilan, walaupun lagu terbabit sudah dijadikan single ketiga mereka,  masih ada lagi komen negatif di Youtube mengatakan mereka menciplak lagu lelaki yang dikenali sebagai Chin.

“Peminat masa lagi anggap lagu Aisyah itu merupakan hak milik lelaki tersebut dan menuduh kami pula yang curi muzik orang. Sepatutnya dia perlulah menyelesaikan kekeliruan itu kepada semua orang di medium yang betul.

“Yang mana kenal kami,  mereka tahu itu lagu kami. Nasihat saya pada mereka yang mahu menyanyikan lagu saduran,  harap beri kredit pada penyanyi asal supaya tak timbul masalah pada masa akan datang, “ ulasnya.

Sumber : Utusan Online