Kanak-kanak Mati Didera Bapa Tiri, Dihentak Sampai Usus Koyak


KEMATIAN Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman, 5, yang dipercayai didera bapa tirinya, semalam berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini menunjukkan hentakan kuat itu dikesan di bahagian bawah belakang kanak-kanak malang itu.

"Kita baru memperoleh keputusan bedah siasat kira-kira 2 petang tadi dan menurut laporan doktor, terdapat koyakan pada usus kecil yang menyebabkan 'peritonitis' atau keradangan yang berpunca daripada hentakan kuat itu," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Dalam kejadian di Felda Tenang, Hulu Besut, dekat Jertih, semalam, Muhammad Hairi Amsyar disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan di Unit Kecemasan Hospital Besut, pada 3.30 pagi.

Mangsa mengalami beberapa kesan lebam lama dan baru di badan.

Bapa tiri mangsa berusia 38 tahun mendakwa kanak-kanak itu cedera akibat terjatuh ketika menaiki motosikal bersamanya, bagaimanapun pihak Hospital Besut meragui dakwaan lelaki itu dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih pada 5.30 pagi semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Syafiqah Abd Kadir, 27, berkata, dia tidak menyangka kehilangan Muhammad Amsyar kerana pemergiannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

"Pada waktu siang, saya melihat dia seperti biasa, seperti hari-hari sebelum ini malah, tidak nampak dia berkeadaan sakit yang boleh menyebabkan dia pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui Harian Metro di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja, 2.30 pagi semalam.

"Saya bekerja membuat manisan di FELDA ini (Felda Tenang) dan sebaik melihat keadaan anak terbujur kaku saya meraung menyebabkan bapa yang sedang tidur terjaga," katanya.

Nor Syafiqah berkata, dia kemudian mengejutkan suaminya yang sedang tidur sebelum meminta bantuan jiran menghantar mangsa ke Hospital Besut.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di hospital, doktor memintanya membuat laporan polis kerana kanak-kanak terbabit sudah meninggal dunia.

Sumber : MyMetro