Kanak-kanak Perempuan Lemas Di Tali Air Di Pendang


PENDANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun  10 bulan ditemukan lemas di dalam tali air kawasan kebun getah berdekatan rumahnya di Rancangan Perumahan Tempatan (RTP) Paya Mak Insun, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata mangsa, Faridah Afrina Mohd Fadhlisham, dijumpai sudah tidak bernyawa oleh bapanya Mohd Fadhlisham  Che Me, 39, semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bersama penduduk kampung pada 6.30 petang.

Katanya bapa mangsa menyedari kejadian itu pada 4.45 petang selepas mendapat  panggilan telefon daripada adik iparnya yang memaklumkan bahawa anaknya itu tiada di rumah ketika hujan lebat.

"Ketika itu bapa mangsa tiada di rumah dan selepas mendapat panggilan kecemasan, bapanya terus balik dan mengesyaki anaknya jatuh ke dalam parit di tepi rumah dan dibawa arus kuat akibat hujan lebat, sebelum mencari sekitar rumah," katanya dalam  kenyataan di sini, semalam.

Fadzil berkata siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi proses bedah siasat dan dituntut anggota keluarga untuk dikebumikan semalam. - BERNAMA