BATU CAVES - Penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berazam meneruskan misi untuk berdakwah walaupun telah disahkan menghidap kanser limfoma sejak Januari lalu.
Rakan-rakannya menggelarnya ‘Ustaz 7-Eleven’ kerana dia sentiasa meluangkan masa untuk menghadiri sesi perbincangan berkaitan agama.
“Saya ingin mati ketika sedang berceramah atau ketika menyampaikan kuliah,” kata Ustaz Hanafi, yang terkenal sebagai pengacara di program Tanyalah Ustaz di TV9.
Lelaki berumur 43 tahun yang juga dikenali kerana minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi itu mengetahui dirinya menghidap kanser tahap empat pada 31 Januari tahun ini.
Susulan itu dia menjalani pembedahan pada 1 Februari untuk membuang sel-sel kanser yang beratnya mencecah satu kilogram.
Walaupun doktor menasihatinya supaya berehat enam bulan, dia tetap menyampaikan khutbah sekurang-kurangnya dua kali sehari dan jarang mengambil cuti.
Malahan, minatnya kepada motosikal berkuasa tinggi dikorbankan apabila terpaksa menjual motosikal kesayangannya, Kawasaki GTR1400 untuk membiayai kos rawatannya yang perlu menjalani kemoterapi sebanyak tiga kali.
“Kemoterapi memberi kesan yang kuat, badan saya terasa sangat lemah tetapi saya buat semua ini demi Allah, mungkin dapat menjadi contoh yang baik untuk ustaz-ustaz lain.
“Walaupun kesihatan kurang baik, jangan berhenti menyampaikan ilmu,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, dia memilih untuk menyibukkan diri dengan kerja daripada melayan perasaan.
“Salah satu kesan kemoterapi adalah tekanan perasaan, saya tidak mahu melayan perasaan itu,” katanya sentiasa berfikiran positif.
“Ketika mendapat berita buruk, saya tetap menceritakan perkara yang baik kerana itu adalah tugas seorang penceramah dan pengacara motivasi, saya perlu menunjukkan contoh yang baik,” tambahnya.
Sepanjang bulan mulia ini, Ustaz Hanafi mengingatkan umat Islam supaya memberi penekanan terhadap ibadah puasa, selain menyumbang derma.
Malahan, beliau juga menggalakkan umat Islam untuk menganjurkan majlis berbuka puasa demi memupuk keharmonian sesama rakyat Malaysia yang beragama lain.
“Saya mencadangkan masjid-masjid mengajak dan menyediakan meja VIP untuk masyarakat bukan Islam dan berbuka puasa bersama-sama.
“Melalui kerjasama, perasaan sayang itu akan muncul,” kata Ustaz Hanafi, yang juga penasihat Rumah Anak Yatim Fakir Miskin Al-Habbah di Taman Jasa Utama di sini.
Sumber : Mstar Online