Kastam Kedah Rampas Bunga Api, Mercun Bernilai RM225,239


ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 164 kotak bunga api dan mercun pelbagai jenis dari Thailand yang bernilai RM225,239 termasuk cukai, Selasa lalu.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata anggota Penguatkuasaan Kastam Cawangan Alor Setar merampas bunga api dan mercun itu selepas menahan sebuah lori jenis Isuzu tiga tan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala arah Selatan.

“Hasil maklumat orang awam, kita telah berjaya menahan pemandu lori tersebut iaitu lelaki tempatan berumur 30-an yang membawa bunga api dan mercun bernilai RM141,660 yang melibatkan jumlah cukai sebanyak RM83,579.

Kita percaya bekalan mercun dan bunga api ini telah dibawa masuk daripada negara jiran untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di Pejabat Penguat Kuasa JKDM di sini semalam.

Katanya, kesemua bunga api dan mercun yang ditutup menggunakan kain kanvas itu berkemungkinan dibawa melalui lorong tikus bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kita masih menyiasat bagaimana bunga api dan mercun ini dibawa masuk dan antara jenis mercun dan bunga api yang telah dirampas adalah Happy Boom, Thunder King, Thunder Clap Rockets dan mercun bola,” katanya.

Johari berkata sebanyak 10 kes rampasan bunga api dan mercun direkodkan sejak awal Ramadan bernilai RM162,081 dengan anggaran cukai RM96,017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-keduanya.

Beliau berharap orang ramai dapat terus menyalurkan maklumat bagi membolehkan Kastam mencegah aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian hotline 1800-888-855 atau 04-7751212. – BERNAMA