Kecam Tuduhan Palsu, Tony Sokong Tindakan Juruterbang Air Asia


KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyokong penuh tindakan juruterbang AirAsia X penerbangan D7237 yang meminta penumpang berdoa ketika pesawat itu berdepan masalah teknikal Ahad lalu.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, Tony berkata, beliau sangat bangga dengan anak kapal AirAsia X yang diketuai Kapten Ibrahim.

Beliau juga mengecam pengkritik yang membuat tuduhan palsu terhadap anak kapalnya, terutama kapten apabila meminta penumpang mendoakan keselamatan mereka selepas memaklumkan menghadapi masalah teknikal.

Beliau turut memuji pegawai pertama Vincent dan Purser Ruijaruuneglai yang melakukan tugas dengan baik serta berjaya membawa pulang semua penumpang dengan selamat.

“Mereka menjalankan tugas begitu hebat apabila membawa semua anak kapal dan penumpang mendarat dengan selamat.

“AirAsia tidak membuat enjin dan semua syarikat penerbangan akan berdepan kegagalan enjin. Tetapi apabila ini berlaku, ia memerlukan juruterbang hebat dan kepimpinan hebat ketika krisis,” katanya.

Menurutnya, daripada rakaman video insiden itu serta e-mel dan mesej WhatsApp yang diterimanya, ternyata pengumuman kapten berkenaan menenangkan penumpang.

“Jika syarikat penerbangan penuh, juruterbangnya pasti sudah dianggap hero. Tetapi, kerana ia syarikat tambang murah, media dan kononnya pakar membuat tuduhan palsu dan melupakan tindakan hero kru kami.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Australia yang memuji AirAsia atas tindakan kami walaupun liputan buruk diterima di media,” katanya.

Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur dengan 359 penumpang itu mengalami masalah teknikal 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada jam 10 pagi waktu tempatan dan terpaksa berpatah balik.

Penumpang dilaporkan memberitahu bahawa pesawat Airbus A330 itu bergegar seperti ‘mesin basuh'.

Sumber : MyMetro