Kejutan Sampul Duit Raya Cikgu


PETALING JAYA - Kegembiraan terpancar pada wajah kanak-kanak apabila menerima duit raya ketika berkunjung rumah saudara-mara atau jiran tetangga setiap kali sambutan Aidilfitri. 

Kebiasaannya kanak-kanak tidak sabar-sabar untuk melihat isinya berbanding sampul duit raya itu sendiri, yang kemudiannya akan dibuang selepas wangnya diambil.

Namun bagi seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing, Kuala Selangor, dia menjadikan sampul duit raya sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran murid prasekolah berumur antara lima dan enam tahun.


Nor Hidayat Sahid, 36, berkata, sesi pembelajaran bertemakan Hari Raya setiap kali menjelang Aidilfitri maka pelbagai aktiviti berkaitan akan diatur untuk murid-murid.

Katanya, murid-murid akan dilatih untuk membuat kad raya, poster raya termasuk sampul duit raya bagi mengasahkan kreativiti mereka dalam pendidikan seni.

“Saya ada membuat rekaan sampul duit raya dan ia akan dicetak pada kertas yang kemudian diberikan kepada murid-murid untuk mewarnakannya.

“Mereka akan mewarnakannya mengikut pilihan warna dan kreativiti masing-masing. Mereka kemudian akan menggunting dan melipat mengikut bentuk yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi mStar Online. 

Dayat yang bertugas sebagai guru selama 12 tahun berkata, sampul duit raya yang telah siap akan ditulis nama murid masing-masing di belakang sampul sebelum diserahkan kembali kepadanya untuk semakan.

“Semakan ini kemudian akan dibuat kejutan apabila saya akan memberikan duit raya kepada murid-murid menggunakan sampul yang dibuat mereka sendiri sebelum masing-masing bercuti sempena Hari Raya.

“Kaedah ini bukan sahaja akan membuat mereka lebih menghargai sampul duit raya selain isinya tetapi juga mengasah kemahiran motor halus mereka dalam menggunakan tangan dan jari untuk menyentuh, memegang, menggenggam dan melipat sekaligus membantu perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Dayat yang mempunyai bakat melukis sejak kecil, pencontoh atau ‘template’ lakaran itu dikongsikannya di Facebook untuk kegunaan umum.

“Guru-guru lain juga boleh menggunakannya untuk kaedah pengajaran mereka untuk murid-murid prasekolah. Untuk murid-murid saya, mereka akan dapat semula sampul duit raya yang dibuat sekali dengan duitnya sekali,” katanya.

Menariknya, kira-kira 20 murid prasekolah yang diajar Dayat di Kelas Suria menerima duit raya menggunakan sampul tersebut pada Rabu. 

Menurut Dayat, terdapat dua kelas prasekolah di SK Bukit Belimbing, Kuala Selangor dan sekolah tersebut secara keseluruhan mempunyai kira-kira 260 murid. 

Sumber : Mstar Online