Kekayaan Anak: ARMADA Mahu Mahathir Jawab Segera


KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) minta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tampil memberi penjelasan segera berhubung kekayaan anak-anaknya.

Exco Pemudanya, Muhammad Hafiz Azhar, berkata penjelasan itu perlu dilakukan segera demi menjaga imej dan nama baik PPBM.

"Kami orang muda mahu dipimpin oleh pemimpin politik yang telus dan bersih dari amalan rasuah. Kami tidak suka apabila pemimpin-pemimpin parti dilempar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

"Justeru, kami meminta pemimpin utama parti, Dr Mahathir untuk tampil memberi pencerahan mengenai isu kekayaan luar biasa anak-anak beliau dalam masa yang singkat.

"Bagi kami, isu ini perlu dijawab segera bagi menangkis tuduhan dan menjaga nama baik parti serta memberi pencerahan secara jelas kepada kami anak-anak muda. 

"Di akar umbi, isu ini sering dibangkitkan, maka kami perlukan jawapan," katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Muhammad Hafiz juga meminta Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tampil dan membersihkan nama beliau dengan menafikan tuduhan skandal bersama seorang wanita yang dipercayai bernama Nika Ghee.

Katanya, beliau sering diajukan soalan di peringkat bawahan mengenai isu berkenaan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya kerana tidak mengetahui isu berkenaan atau mengenali wanita dengan nama itu.

"Jadi saya minta Presiden yang kami hormati tampil dan menafikan secara jelas skandal ini," katanya.
Katanya, beliau pernah cuba beberapa kali mendapatkan penjelasan mengenai isu itu termasuk di 
dalam WhatsApp kumpulan parti, namun tidak dijawab.

Malah, Muhammad Hafiz berkata, mereka juga tidak diberi peluang untuk bertanyakan mengenainya pada mesyuarat atau perhimpunan yang diadakan PPBM.

"Saya berterus terang, mula-mula dulu kami memang bersemangat, tetapi lama-kelamaan semangat dan keyakinan kami semakin berkurangan apabila isu-isu ini tidak dapat dijawab.

"Bermaksud kita sendiri juga tidak bersih, dijanjikan satu perjuangan yang bersih, tetapi saya sendiri tidak nampak apabila isu-isu sebegini pun tidak boleh dijawab,"katanya lagi.

Sumber : Berita Harian