ALOR SETAR - Anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini semakin berani mendesak 'taukeh' mereka. Mulut mereka bagai tidak boleh 'dikunci' lagi. Mereka tidak mahu PPBM menyekat kebebasan akar umbi bersuara.
Mereka tidak boleh lagi 'pejam mata dan berpura-pura pekak' bila bos mereka Tun Dr. Mahathir 'diserang' dan dengan isu kekayaan anggota keluarganya semasa Pengerusi PPBM itu menjadi Perdana Menteri sepanjang 22 tahun.
Mereka mahu penjelasan jujur Dr. Mahathir untuk diterangkan kepada ahli dan rakyat yang ingin tahu adakah dakwaan itu benar atau tidak.
Namun agak malang, mereka yang bertanyakan hal itu pula akan menjadi mangsa politik. Mereka bakal dihadapkan kepada lembaga disiplin parti. Itu yang terjadi kepada Exco Armada PPBM yang mempersoalkan hal itu secara terbuka baru-baru ini.
Rentetan daripada itu seorang anggota akar umbi PPBM semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkaitan isu kekayaan keluarga Dr Mahathir.
Aduan itu dibuat oleh Anggota Jawatankuasa PPBM Bahagian Shah Alam, Wan Mohamad Ashraf Nasjaruddin di pejabat SPRM Selangor di Petaling Jaya.
Dr. Mahathir tidak boleh menyalahkan anggota PPBM itu dan mendakwa mereka bersekongkol dengan UMNO seperti mana pemimpin parti itu menuduh Exco Armada diperalatkan dan diberi 'dedak' oleh UMNO.
"Siasatan ini perlu bagi rakyat tahu sama ada Dr Mahathir seorang pemimpin bersih atau sebaliknya," kata Wan Mohamad Ashraf kepada pemberita selepas membuat laporan itu dan menyerahkan dokumen berkaitan di pejabat SPRM Selangor.
Beliau membuat laporan itu berikutan pelbagai soalan diajukan oleh anggota peringkat akar umbi mengenai isu kekayaan anak-anak Dr Mahathir, namun pihaknya tidak diberikan penjelasan secukupnya mengenai dakwaan itu sehingga hari ini.
Mohamad Ashraf yang mendakwa beliau bertanggungjawab membawa masuk ribuan anggota ketika PPBM ditubuhkan berkata, pihaknya pernah bertemu anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu kekayaan tersebut, namun mendakwa tidak diberikan ruang secukupnya untuk berbuat demikian.
Seperti mana yang dilaporkan Bernama, kepercayaan Mohamad Ashraf terhadap kepimpinan Dr Mahathir kini terhakis berikutan dakwaan itu.
Dr. Mahathir dan Mukhriz tidak ada pilihan kecuali bercakap benar kepada ahlinya, walaupun ia pahit untuk mereka telan. Ahli PPBM dan rakyat perlu diberi keyakinan jika parti itu mahu menang PRU 14 yang dijangka semakin hampir. - Kedahnews.com