Keluarga Anwar Kembali "Sayang" Mahathir?


ALOR SETAR -  Keluarga Datuk Seri Awar Ibrahim, kini kembali 'menyayangi' Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun saban tahun membenci bekas Perdana Menteri yang menyebabkan pejuang reformasi itu terpelanting daripada UMNO dan menginap di Penjara Sungai Buluh.

Semuanya berkisarkan ke arah hendak menjatuhkan kerajaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Sebelum ini, keluarga Anwar temasuk Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 'bermasam muka' seketika kerana Dr. Mahathir mahu menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang  PRU14.

Namun semuanya  itu mahu dilupakan seketika kerana mereka melihat Dr. Mahathir cukup serius mahu menggulingkan Najib dan mahu melenyapkan UMNO di bumi ini sedangkan parti itu yang  menaikkan dua tokoh berkenaan dalam kerajaan mahu pun UMNO.

Dalam politik semua boleh berlaku,  siapa juga boleh membuat pusingan U jika dirasakan memberi faedah kepada parti dan diri masing-masing.

Begitu juga sikap  Dr. Mahathir, Dr. Wan Azizah, Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu pun Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah kini seakan terus melupakan sejarah hitam keluarganya dalam mengharungi arena politik sebaik bapanya,  dihumban ke penjara buat kali pertama pada 1999.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Nurul Izzah berkata, penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam gabungan pembangkang membuktikan agenda untuk menjatuhkan pentadbiran Najib merupakan faktor lebih besar mengapa Mahathir menyertai pembangkang.

“Sesiapa saja boleh bertaubat, menyokong dan bersama-sama agenda reformasi.
“Apabila saya lihat kembali apa yang Dr. Mahathir lakukan saya tidak boleh menolak sesiapa saja yang menyokong agenda reformasi kita.

“Kita haruslah berjiwa besar. Kita haruslah berfikiran terbuka,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Penglibatan Mahathir dalam arena politik pembangkang bermula apabila tercetusnya Deklarasi Rakyat pada 2016 yang bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya.

Ia kemudian direalisasikan dengan pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Ogos 2016 dengan tujuan menyertai Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tambah Nurul Izzah, apa yang pernah dilaluinya sebelum ini sudah tidak lagi penting, namun usaha ke arah menjadikan Malaysia yang lebih baik perlu menjadi fokus utama pembangkang tatkala PRU14 sudah semakin hampir.

“Tiada guna membenci individu. Kita mungkin membenci apa yang pernah dilakukannya pada masa lalu.

“Tetapi usaha kita harus ditumpukan kepada memastikan tiada lagi penindasan dan tidak kira siapa pun menjadi perdana menteri,” katanya. seperti mana yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Bagaimanapun tidaklah dapat dipastikan sejauh mana kejujuran Dr. Mahahtir dan keluarga Anwar kerana masing-masing mempunyai cita-cita yang sama, iaitu menerajui kerajaan akan datang jika menang.

Mahathir juga tentu mahu mewariskan legasi  kepimpinannya kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz, begitu juga harapan Anwar mahu pun Kit Siang. - Kedahnews.com.