Kematian Budak Lelaki Akibat Terbakar Dalam Pondok Keselamatan Mungkin Kes Khianat


LANGKAWI - Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran sebuah pondok pengawal sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki di sini kelmarin sebagai perbuatan khianat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Langkawi, DSP Mahani Mohamed semalam berkata mayat Muhammad Shukrey Azrey, 8, ditemukan dalam keadaan badannya di antara 60 dan 70 peratus melecur di dalam pondok itu.

Menurutnya bapa mangsa yang berumur 40 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pondok yang menuju ke tapak pelupusan sampah di Kilim itu telah mendakwa melihat sebuah kenderaan berhenti di tempat kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi.

"(Kata ayah mangsa) Dua lelaki (kemudiannya) telah keluar dari kenderaan (berkenaan) dan telah membaling sesuatu ke arah pondok itu (sehingga) menyebabkan pondok terbakar," katanya.

Bagaimanapun, Mahani berkata siasatan yang turut melibatkan Unit Forensik Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat setakat ini masih belum menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan sebagai punca kebakaran itu. - BERNAMA