Keon Tak Jejas, Sedia Rebut Tempat Dengan Aidil Zafuan


JOHOR BAHRU - Pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari tidak menganggap peluangnya untuk berada dalam skuad utama Harimau Malaya terjejas selepas 'kepulangan' Aidil Zafuan Abd Radzak yang keluar daripada persaraan untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019.

Khairul Helmi yang sinonim dengan panggilan 'Keon' di kalangan rakan sepasukan menyifatkan kehadiran semula Aidil Zafuan bakal membentuk benteng pertahanan lebih ampuh dan bersedia memberi persembahan terbaik bagi memikat ketua jurulatih, Nelo Vingada.

Katanya, saingan tampak sengit kerana Shahrul Kalam dan Shahrul Mohd Saad juga memiliki kredibiliti beraksi di posisi bek tengah dan ia adalah satu persaingan sihat.

"Ketika sesi latihan pertama saya agak kepenatan selepas baru tiba ke Johor Bahru dari Alor Setar namun sejak dua hari ini, tahap kecergasan saya dalam keadaan memuaskan.

"Saya tidak anggap kehadiran semula Aidil Zafuan bakal menjejaskan peluang beraksi dalam kesebelasan utama sebaliknya ia akan menambah kekuatan posisi itu kerana dia amat berpengalaman di pentas antarabangsa.

"Persiapan juga tampak berjalan lancar, walaupun baru menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baharu (Vingada), latihan lebih tertumpu kepada kekuatan fizikal dan belum terarah untuk membentuk taktikal," katanya.

Khairul Helmi mendapat kap pertama bersama skuad senior ketika aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Singapura pada 26 November lalu dan kini pastinya keinginan untuk kekal dalam kesebelasan utama begitu menebal.

Katanya, kerjasama berpasukan mampu membentuk persefahaman pemain serta persiapan rapi sebelum berdepan Lubnan pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, 13 Jun ini.

"Tinggal kurang dua minggu saja (berdepan Lubnan) dan saya sendiri mahu menggandakan latihan. Ini bukan soal terpilih atau tidak dalam kesebelasan utama kerana saya harus bersiap sedia," katanya.

Sumber: BH Online