Kerajaan Negeri Kedah Jadi Mangsa Fitnah Di Bulan Ramadhan


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan yang tersebar yang kononnya akan memberi bonus tiga bulan gaji bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 penjawat awam negeri ini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam kenyataannya menyifatkan penyebaran maklumat tersebut itu sebagai tidak bertanggungjawab dan ia tidak lebih untuk memburukkan imej kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Ini tak logik dan tak rasional langsung. Negeri lain pun tak bagi, Selangor pun dua bulan setengah.

"Mereka yang buat kenyataan ini tidak patut buat dalam bulan puasa ni, Tidak pernah berlaku pun dalam sejarah di Kedah ini (bagi tiga bulan bonus),” katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan buat balu, anak yatim dan anak istimewa warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Seramai 109 orang balu, 75 anak yatim dan 36 anak istimewa menerima bungkusan hamper makanan dan duit raya yang disumbangkan Pejabat Menteri Besar Kedah (MBI).

Satu poster difahamkan tular di media sosial sejak semalam mendakwa kononnya Kerajaan Negeri akan memberikan bonus 3 bulan kepada kakitangan awam negeri bersempena Aidilfitri ini.

Dikatakan beberapa dakwaan palsu seumpama itu juga tular sebelum ini berkemungkinan dilakukan oleh pihak tertentu yang mungkin bermotifkan politik dan mencetus kebencian terhadap Ahmad Bashah.

Sebelum ini, Menteri Besar itu turut menjadi mangsa apabila pihak tertentu tela bijak memperalatkan Stadium Darul Aman untuk tujuan politik ketika berlaku krisis kepimpinan negeri sehingga berlaku peralihan kuasa membabitkan jawatan Menteri Besar.

Ramai pihak mengecam tindakan mempolitikkan stadium yang sepatutnya menjadi medan menyatukan rakyat Kedah, namun kesan dari mempolitikkan keadaan itu kekal hingga kini ekoran segelintir peminat yang masih belum sedar mereka diperalatkan. - Kedahnews.com