Kesihatan Rakyat P. Pinang Tak Diabai, Persekutuan Salur RM1.4 Bilion Sejak 2008


GEORGE TOWN - Kesihatan penduduk Pulau Pinang tidak diabaikan oleh kerajaan Persekutuan walaupun negeri itu diperintah oleh kerajaan pembangkang pimpinan DAP bersama PKR hampir dua penggal.

Sebanyak RM1.4 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2008 hingga 2017 dalam memastikan penduduk negeri mendapat khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, peruntukan itu adalah antara pelaburan berbilion ringgit yang telah dikeluarkan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai bantuan dan kemudahan asas demi kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar..

"Aspirasi kerajaan Persekutuan dalam pembangunan negeri Pulau Pinang sentiasa berpaksikan kepada keperluan dan kepentingan rakyat," katanya melalui buku Inisiatif, Peruntukan dan Ikhtiar Murni Kerajaan Persekutuan Demi Mensejahterakan Rakyat Pulau Pinang Pencapaian Tahun 2008-2017.

Peruntukan RM1.4 billion untuk kesihatan itu adalah bagi membina dan menaik taraf 78 hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri ini, antaranya pembinaan blok bertingkat Hospital Seberang Jaya dengan peruntukan RM400 juta dan pembinaan blok tambahan untuk wad wanita dan kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (RM297 juta).

Selain itu, sebanyak RM94.2 juta diperuntukkan untuk menaik taraf klinik kesihatan dan kuarters di Tasek Gelugor, Kepala Batas, Bandar Perda dan Bukit Minyak dan kuarters Hospital Pulau Pinang (RM75 juta).

Turut disediakan peruntukan  ialah untuk Kolej Jururawat Masyarakat Kepala Batas (RM79 juta); Klinik Kesihatan Air Putih Barat Daya (RM30 juta), Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya (RM41.5 juta) dan Klinik Cure & Care 1Malaysia Bukit Mertajam (RM21 juta). - Bernama