Khemah Ramadan Terbakar Di Jitra, Peniaga Kasut Rugi RM20,000


ALOR SETAR - Seorang peniaga menjual kasut di bazar Ramadan Jitra terpaksa berputih mata kerana khemah gerai yang terletak berhadapan dengan sebuah pasaraya disini musnah dan hangus dijilat api.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi semalam itu melenyapkan hasratnya untuk menambah pendapatan yang lebih pada bulan yang mulia ini.

Jeritan orang awam yang berada di kawasan tersebut telah berjaya menyelamatkan seorang jurujual yang sedang tidur di dalam khemah berkenaan.

Mangsa jurujual, Muhamad Ashyraf Shahrunnizam, 19, berkata kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya mampu untuk menyelamatkan motosikal yang diletakan di hadapan khemah tersebut sahaja.

“Mujur saya dengar orang ramai menjerit, kalau tak saya mungkin tercedera atau maut terbakar.

“Sebaik saja tersedar saya nampak api sudah marak serta bingkas bangun dan sempat selamatkan motosikal di hadapan khemah, manakala dompet dan telefon bimbit saya semua terbakar,” katanya.

Sementara itu, pemilik gerai, Azuan Mohd Noor, 37, pula berkata dia mengalami kerugian kira-kira hampir RM20,000 kerana habis kesemua stok kasut yang hendak dijualnya hangus dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Sufian Hassan berkata, setelah menerima aduan pada jam 7.33 pagi, pihak mereka bergegas ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal dalam beberapa minit sahaja.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu dan api dapat dikawal dalam tempoh beberapa minit sahaja.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan tidak menolak berkemungkinan ia berpunca daripada litar pintas,” katanya. - Kedahnews.com