Kisah Jaafar Bin Abi Talib, Pemilik Dua Sayap


KAEDAH terbaik mendidik anak-anak memahami kasih-sayang terhadap agama adalah secara perkongsian kisah-kisah perjuangan para sahabat. Perjuangan yang diwarnai pelbagai kisah pahit dan manis.

Kaedah ini jauh lebih baik daripada membiarkan anak-anak dimomok dengan kisah-kisah dongeng Cinderella yang kehilangan kasutnya, atau Snow White yang memakan epal dari orang yang tidak dikenali. Lebih mengarut tentulah cerita Sleeping Beauty yang asyik tidur.

Ikuti petikan kisah sahabat.

“Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan dua pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah,” kata Muhammad SAW.

Ini bukan kisah dongeng mahupun imaginasi penulis. Tetapi ini adalah fakta yang dinyatakan sendiri oleh seorang manusia yang tidak pernah berbohong dan maksum sifatnya.

Jaafar bin Abi Talib adalah saudara kepada Ali bin Abi Talib dan sepupu kepada Rasulullah SAW. Beliau amat dikasihi baginda. Ketika mengutuskan sahabat ke Habsyah, Rasulullah memerintahkan Jaafar untuk mengepalai delegasi tersebut.

Sekembalinya Jaafar Bin Abi Talib ke Madinah setelah 10 tahun berada di Habsyah, Rasulullah SAW segera mendakap Jaafar dan mencium di antara kedua matanya. Baginda sangat teruja lalu bersabda:

“Aku tak tahu apakah yang lebih menggembirakan sekarang. Adakah pembukaan kota Khaibar atau ketibaan Jaafar.”

Namun Jaafar ditakdirkan tidak lama di Madinah. Pada tahun kelapan Hijrah, Rasulullah mengutuskan satu pasukan ke Mu’tah diketuai Zaid bin Harithah sebagai panglima. Rasulullah berpesan: “Jika syahid Zaid maka Jaafar perlu menggantikan dan jika Jaafar syahid maka gantikan Abdullah bin Rawahah.”

Benar sebagaimana disabda. Zaid bin Harithah menemui syahid di sana. Panji yang dipegang segera disambut Jaafar dan terus meluru ke tengah kawanan musuh. Jaafar bertarung sehingga putus tangan kanan yang memegang panji dicantas oleh tentera Rom.

Panji itu segera disambut dengan tangan kiri. Tetapi tangan kirinya dipotong selepas itu. Namun, Jaafar tetap mempertahankan panji Islam itu dengan bahu dan tunggul tangan yang masih berbaki, sehingga gugur syahid.

Dengan linangan air mata, Rasulullah SAW bersabda kepada keluarga Jaafar Bin Abi Talib:

“Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan dua pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah.”

Kisah para sahabat kasihkan Islam tiada tandingan. Bukan kasih-sayang itu bererti perang, tetapi falsafahnya ialah: Memelihara kemuliaan Islam. - Kedahnews.com