Kitar Semula Sisa Makanan Sebagai Baja Kompos


PUTRAJAYA – Festival Ramadan 2017 yang berlangsung sehingga 24 Jun di Presint 3 di sini mengutamakan alam sekitar dengan mengitar semula sisa makanan dan sisa organik untuk dijadikan baja kompos bagi mengelakkan pembaziran.

Naib Presiden Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Perbadanan Putrajaya, Datuk Ir Razali Jarmin berkata kajian mendapati terdapat penambahan 15 hingga 20 peratus sisa makanan sepanjang Ramadan berbanding hari biasa dan inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya menyediakan dua tong pada Festival Ramadan kali ini iaitu tong biru untuk sisa makanan boleh kompos seperti kulit telur, kulit buah-buahan, sayur-sayuran dan tulang ikan.

“Sisa-sisa ini akan dibawa ke mesin kompos di Presint 18 dan diproses menjadi Putra Kompos atau baja.. Putra Kompos akan diedarkan ke kawasan perumahan sekitar Putrajaya terutamanya mereka yang menjalankan pertanian di rumah contohnya tanaman cili,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Ramadan di sini semalam.

Razali berkata tong kedua ialah tong hijau untuk mengisi bekas makanan dan minuman, tulang besar, hampas tebu, kulit kerang, biji dan kulit durian untuk dibuang di tapak pelupusan.

Menurutnya, Perbadanan Putrajaya menyediakan 200 unit kiosk jualan barangan kering dan barangan keperluan Hari Raya sepanjang Festival Ramadan sementara Bazaar Ramadan melibatkan 300 gerai jualan.

Turut disediakan tahun ini ialah Laman Iftar, di pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa dalam suasana santai dan berkonsepkan outdoor. – BERNAMA