KPDNKK Perkenal Langkah Sesuai Ringankan Beban Pengusaha Minyak


PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperkenalkan langkah sesuai untuk membantu meringankan beban pengusaha stesen minyak yang menghadapi trend penurunan harga petrol dan diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata pengumuman berhubung usaha kementerian itu akan dilakukan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan syarikat minyak minggu depan.

"Rakyat sangat gembira kerana harga bahan api turun hampir setiap minggu, tiada rungutan daripada mereka tetapi sebaliknya, pengusaha minyak telah mengalami kerugian," katanya kepada media selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kementerian beliau semalam.

"Apabila harga minyak turun, apa jua stok yang mereka ada, pengusaha terpaksa jual walaupun harga itu berdasarkan harga minggu lepas.

"Jadi kami terpaksa membuat perkiraan, jadi saya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak minggu depan," katanya.

Hamzah berkata masalah itu turut dibangkitkan kepada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan beberapa strategi akan dilaksanakan untuk membantu pengusaha minyak.

Harga runcit mingguan petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 5 dan 7 sen, manakala diesel turun 8 sen bermula 12.01 tengah malam tadi.

Dengan penurunan itu, harga runcit baharu RON95 adalah RM2.05 seliter, harga baharu RON97 ialah RM2.31 dan harga jualan diesel pula RM1.94 seliter.

Harga bahan api itu adalah bagi tempoh 8 Jun hingga 14 Jun 2017 berdasarkan penetapan kaedah mingguan setiap Rabu dikuatkuasakan oleh kerajaan berbanding secara bulanan sebelum ini. - BERNAMA