PENINGKATAN penggunaan aplikasi teknologi terutamanya automasi berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr Jamal Othman berkata, konsep revolusi industri 4.0 memfokuskan kepada penggunaan teknologi, automasi dan perkongsian dalam penggunaan sumber-sumber termasuk teknologi, data dan prasarana.
Katanya, hal ini akan meningkatkan sinergi dan produktiviti sumber. Seterusnya output ekonomi juga akan meningkat secara cekap.
"Peningkatan output ekonomi ini akan mendorong kepada peningkatan dalam permintaan terhadap guna tenaga.
"Diharapkan pelaksanaan Industri 4.0 ini akan mampu mengurangkan permintaan terhadap pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Jamal memberi respons positif terhadap ledakan revolusi industri keempat ini kerana menurutnya tidak semua sektor atau industri akan bergantung sepenuhnya kepada robot dan internet.
"Industri 4.0 bukan sekadar tentang teknologi tetapi juga perkongsian penggunaan sumber atau kemudahan antara agensi- agensi termasuk di sektor awam. Ini akan meningkatkan sinergi dan kecekapan penggunaan sumber yg tentunya akan mengurangkan kos operasi.
"Dijangkakan peningkatan dalam aplikasi teknologi sewajarnya menumpu kepada mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Sebaliknya jika ia memberi kesan bersih yang negatif terhadap penciptaan peluang pekerjaan terutama kepada pekerja domestik kita harus mengurangkan aplikasi teknologi sedemikian," katanya
Sumber: Sinar Harian