Lagi Kes Jenayah Libatkan Pemandu Uber?

uber

PETALING JAYA - Dua pelajar kolej yang ditinggalkan seorang pemandu Uber di tengah jalan, dirompak 2 penunggang motosikal yang berpura-pura menumpang mereka ke sebuah lokasi sunyi.

Kejadian itu berlaku di Taman Murni, Batu 9, Cheras, pada jam 3.30 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan yang dipetik China Press berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan selepas polis menerima laporan pada jam 3 petang Ahad lalu.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (rompak dan sengaja mencederakan) dan polis sedang mengesan identiti serta kedudukan suspek terbabit.

Ibu kepada salah seorang mangsa menerusi catatan di Facebook memaklumkan anaknya bersama rakan dirompak dan dipukul dengan topi keledar di bahagian kepala oleh penjenayah, selepas mereka dihalau keluar dari kereta Uber itu.

Kedua-dua mangsa membuat laporan polis selepas dirawat di hospital.

Sumber: FMT