GUAR CHEMPEDAK - Longgokkan serta pembakaran sekam padi yang dianggarkan berkeluasan 1.5 hektar di tepi jalan utama Kampung Nenas mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk berdekatan dan juga pengguna jalan raya kawasan berkenaan.
Penduduk, Mat Rodzi Senapi, 60 berkata, longgokan sekam padi itu hanya terletak kira-kira 300 meter daripada rumahnya.
"Jarak yang dekat menyebabkan saya dan keluarga tak boleh tidoq pada waktu malam sebab gatal," katanya yang ditemui di lokasi pembakaran sekam semalam.
Katanya, setiap malam dia dan keluarga tidak dapat melelapkan mata ekoran rasa gatal yang sangat teruk.
"Malam-malam kalau nak tidoq kerja menggaru saja, kadang tak tahan sangat kami bangun mandi, itupun tak dapat selesai masalah," katanya.
Menurut Mat rodzi, selain daripada rasa gatal, dia juga turut mengalami masalah gangguan pernafasan.
"Bila baring, mesti rasa sesak nafas dan susah nak hilang. Rasa macam sakit dada yang teramat sangat," katanya.
Mengakui masalah yang sama, Sohimi Hashim, 64, berkata isu longgokkan sekam padi ini bermula sejak Januari lalu.
"Pada mulanya kami penduduk kampung hairan awat depa mai longgok di sini tapi masa tu tak banyak macam sekarang.
"Sekarang ni longgokkan sekam padi dah jadi seperti gunung dah, sangat tinggi," katanya.
Katanya, jika hanya melonggok ia tidak terlalu memberi masalah kepada penduduk dan pengguna jalan raya, tetapi masalah menjadi lebih teruk apabila pihak berkenaan membakar sekam padi ini pada waktu malam.
"Kalau sekadar longgok tak apa lagi, ni duk bakar pula pada waktu malam. Keadaan ni sangat memberi kesan kepada kami," katanya.
Menurut Sohimi, kesan daripada pembakaran sekam padi berkenaan turut mendatangkan bau yang sangat busuk.
"Bagi saya depa yang buat kerja ni memang tidak bertanggungjawab dan juga tidak prihatin akan keadaan penduduk setempat.
"Kami kurang pasti adakah tanah ini rizab kerajaan mahupun persendirian, tapi meskipun kalau betul ini tanah persendirian depa tak boleh buat benda macam ni," katanya.
Katanya, habuk dari kesan pembakaran berterbangan hingga ke rumah penduduk berdekatan.
"Kadang tu setiap masa ada habuk di lantai dan pakaian juga tidak dapat dijemur diluar rumah," katanya.
Pengguna jalan raya, Mohd Firdaus Hasan, 28, berkata apabila melalui jalan tersebut dia terpaksa menutup tingkap kereta ekoran bau busuk dan juga habuk.
"Kalau lalu kawasan ni, memang saya akan tutup tingkap sebab bau sekam padi yang dibakar sangat busuk," katanya.
Sementara itu, masalah yang dihadapi penduduk mendapat perhatian dari Ketua Bahagian Bersatu Jerai, Akhramshah Sanusi.
Menurut Akhramshah, pihaknya memandang serius berkaitan masalah ini dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
"Harapan kami agar pihak berkuasa memantau serta mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan pembakaran ini," katanya yang turut hadir melihat sendiri aktiviti pembakaran sekam padi berkenaan.
Katanya, jika dibiarkan berterusan, penduduk akan mengalami pelbagai masalah kesihatan.
"Sekarang baru peringkat permulaan, kita tak nak bila sampai tahap serius, penduduk dan pengguna menghidap penyakit lain yang lebih kronik," katanya.
Sumber: Sinar Harian