PUTRAJAYA - “Cendol special (istimewa) santan sawit satu jag lima ringgit.. tambah durian sepuluh ringgit.. dari Senawang datang Putrajaya nak jual cendol je,” kata tujuh jejaka Maha Cendol secara serentak.
Itu adalah laungan pasukan sorak Maha Cendol yang memeriahkan Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 di sini, sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung yang mencari juadah enak untuk berbuka puasa.
Pendekatan yang digunakan itu nyata mampu menarik pengunjung terutama penjawat awam dan penduduk yang berada di sekitar Putrajaya sehingga sanggup beratur panjang untuk mendapatkan Maha Cendol.
Pengusaha Maha Cendol Khairul Anwar Sarjat, 30, berkata, idea itu datang secara spontan dan tidak sangka ia berhasil sehingga mampu menjual 300 hingga 500 bungkus cendol setiap hari.
“Saya terfikir untuk menggunakan cara ini bagi menarik perhatian pengunjung. Jika saya seorang saja mempromosi gerai kami mungkin tidak ramai tahu kewujudan gerai kami.
“Oleh itu, saya dan rakan lain mengambil keputusan untuk sama-sama mempromosikan cendol dengan bersorak serentak,” katanya.
Dia yang juga bekas jurutera automotif berkata, keunikan rasa cendol yang dihasilkan turut membantu melariskan jualan cendol yang dihasilkan dia dan adiknya Khairul Nizam Sarjat, 25, sejak berniaga di bazar itu, dua tahun lalu.
“Cendol yang kami hasilkan berbeza daripada cendol lain. Kami menggunakan santan sawit yang tidak mengandungi kolesterol selain menggunakan gula enau asli dari Negeri Sembilan.
“Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan penghantaran dengan pembelian sekurang-kurangnya RM20. Kami juga menerima tempahan untuk pelbagai majlis.
Sumber : MyMetro