Lebih 5 Juta Kanak-Kanak Perlu Bantuan Di Iraq


BAGHDAD – Lebih lima juta kanak-kanak amat memerlukan bantuan di Iraq, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini, menggambarkan perang ke atas militan Daesh sebagai antara paling kejam dalam sejarah moden.

“Di seluruh Iraq, kanak-kanak terus menyaksikan kezaliman dan keganasan yang tidak dapat dibayangkan.

“Mereka dibunuh, dicederakan, diculik dan dipaksa menembak mati orang lain dalam satu daripada perang paling kejam dalam sejarah moden,” kata UNICEF dalam kenyataan. Di Mosul, kanak-kanak sengaja dibunuh militan Daesh untuk menghukum keluarga dan menghalang mereka melarikan diri.

Pertubuhan antarabangsa menganggarkan lebih 100,000 penduduk awam, separuh daripadanya kanak-kanak, terperangkap dalam keadaan amat bahaya di pusat Kota Lama, daerah terakhir yang masih dalam penguasaan militan di Mosul.

Lebih 1,000 kanak-kanak terbunuh dan lebih 1,100 lagi cedera atau kehilangan anggota badan sejak 2014, apabila militan itu merampas sebahagian besar wilayah di negara berkenaan.

Sementara lebih 4,650 kanak-kanak terpisah daripada keluarga masing-masing.

Militan mula hilang penguasaan di kebanyakan bandar raya di Iraq, selepas siri serangan yang dibantu Amerika Syarikat sejak 2015. – REUTERS