BUNTONG – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hampir putus dipercayai ditetak di Kilometer 6, Jalan Ipoh - Lumut di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai S Ganasan, 30, ditemui terbaring di tepi jalan berkenaan dengan pelbagai kesan kecederaan di kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa dijumpai oleh orang awam kira-kira lima meter di tepi jalan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai kesan tetakan di kepala, leher serta kedua-dua kaki dan tangan.
"Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang senjata ditempat kejadian. Mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati kerana pendarahan berlebihan akibat luka tetakan di leher.
"Mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan dua rekod dalam kes dadah.
"Siasatan lanjut membawa penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.
Sumber: Sinar Harian