Lelaki Maut Kereta Bertembung Treler


PARIT  - Seorang lelaki warga Indonesia maut setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 32, Jalan Beruas-Parit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, nahas pada pukul 10.35 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kejadian berlaku semasa lori yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Parit hendak ke Siputeh manakala kereta mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan ketika melalui selekoh lalu bertembung dengan kenderaan berat tersebut.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber : Utusan Online