LELAKI ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kondominum di Jalan Api-Api, Kota Kinabalu, tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa, Mohd Nazrul Ab Kiplli, 35, yang berasal dari Kampung Seberang Benoni, Papar ditemui oleh orang awam dan pekerja di kondominum berkenaan sebelum insiden itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan pada 12.57 tengah malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
"Kejadian membabitkan lelaki yang dipercayai terjatuh dari tingkat 10 ke tingkat satu bangunan kondominum berkenaan.
"Bomba menurunkan mangsa dari tingkat satu menggunakan tangga dan seterusnya menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, dua jentera dengan kekuatan lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu terbabit dalam operasi yang ditamatkan pada 2.30 pagi tadi
Sumber: Harian Metro