ORLANDO - Seorang bekas anggota tentera yang dipecat daripada tempat kerjanya April lalu, bertindak menembak mati lima bekas rakan sekerjanya dalam insiden tembakan di Orlando, Amerika Syarikat semalam.
Ketika kejadian, John Robert Neumann Jr., 45, yang bersenjatakan senapang semi automatik dan pisau menyerbu masuk ke kilang bekas tempat kerjanya itu yang juga merupakan pengeluar kenderaan.
Dia kemudiannya melepaskan beberapa tembakan secara rambang ketika semua pekerja mahu memulakan tugas masing-masing.
Ketika kejadian, 12 petugas berada di dalam premis, tujuh daripada mereka terselamat.
Kebanyakan mangsa mati ditembak di kepala dan cedera teruk di bahagian badan.
Selepas melepaskan tembakan, suspek kemudiannya membunuh diri.
Polis bagaimanapun tidak mengaitkan insiden ini dengan serangan pengganas dan siasatan masih dijalankan.
Sumber: Kosmo