Lima Universiti Penyelidikan Malaysia Tersenarai Dalam 300 Universiti Terbaik Dunia


PUTRAJAYA - Kedudukan kesemua lima universiti penyelidikan Malaysia kini meningkat dan berada dalam senarai 300 universiti terbaik di dunia bagi penilaian 2017/2018 seperti mana yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) semalam.

Universiti tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hasil peningkatan tersebut membolehkan lima pusat pengajian itu tersenarai dalam kelompok satu peratus teratas di dunia daripada 26,000 universiti di seluruh dunia.

“UM dan UPM telah menunjukkan peningkatan untuk lima tahun berturut-turut iaitu dari 2013 hingga 2017. UM kini berada di kedudukan terbaik iaitu di tempat ke-114 iaitu di ambang kelompok 100 terbaik di dunia.

“UPM pula telah menunjukkan peningkatan tertinggi dengan peningkatan sebanyak 189 tempat yang menjadikan kedudukan terkini ialah di tempat ke-229, kedudukan UPM sebelum ini ialah di tempat ke-411 dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Idris, UKM pula menunjukkan pencapaian peningkatan sebanyak 72 tempat sekali gus menempatkan universiti itu di kedudukan ke-230 manakala USM pula berada di tempat ke-330 selepas meningkat sebanyak 66 tempat.

“UTM juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 102 tempat daripada kedudukan ke-355 pada 2013/2014 kepada tempat ke-253 pada 2017/2018,” katanya. 

Sumber : Utusan Online