Lori Bertembung Bas Di PLUS Gurun-Pendang, Staf PROPEL Maut, 2 Rakan Cedera


ALOR SETAR – Seorang kakitangan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) dilaporkan maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas lori PROPEL yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran di KM65.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mustakim Mukhtar berkata dalam kejadian 6.24 pagi itu, lori PROPEL yang dinaiki tiga pekerja berkenaan dalam perjalanan dari Gurun menghala ke Pendang sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, bomba dapati tiga mangsa tersepit di dalam lori berkenaan. Penumpang belakang lori meninggal di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan.

“Semua mangsa telah dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya, memetik laporan Bernama, hari ini.

Difahamkan bahawa pemandu dan 28 penumpang bas persiaran itu tidak mengalami sebarang kecederaan di dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim turut mengesahkan kejadian itu dan memberitahu butiran mangsa yang maut dan cedera masih belum diperoleh. – Kedahnews.com