SIK - Bukan hanya menghafaz al-Quran dan menelaah kitab, tetapi Maahad Tahfiz Taklim An Nubuwah dari Kampung Landai turut mendedahkan pembelajaran perniagaan atas talian kepada pelajarnya.
Mudir, Halim Abu Nawar berkata, tujuan utama kursus itu diperkenalkan bagi melahirkan pelajar yang bijak berdikari terutamanya selepas tamat belajar.
“Kita tidak galakkan mereka bekerja kerajaan, itu pilihan terakhir. Kerja pertama kita galakkan ialah berdikari sama ada berniaga, mengajar atau menjadi petani.
“Bukannya berniaga atau petani sembarangan, tetapi peniaga atau petani yang dalam masa boleh menjajar dan menguasai al-Quran serta kitab,” katanya di sini, kelmarin.
Menurutnya, maahad menyasarkan tempoh tiga hingga enam tahun bagi pelajar menguasai bidang diambil termasuk al-Quran dan kitab.
Halim berkata, seramai empat dari 11 pelajar secara keseluruhan mengambil bidang perniagaan atas talian dan selebihnya mendalami ilmu pertanian dan pertukangan.
“Pelajar di sini berusia 12 hingga 21 tahun dan datang dari keluarga kurang berkemampuan. Mereka dibimbing tenaga pengajar bertauliah secara percuma.
“Mereka menjual produk madu kepunyaan maahad dan pakaian dibekalkan sebuah syarikat. Keuntungannya 70 peratus milik pelajar dan 30 peratus disumbangkan kepada maahad,” katanya.
Tambahnya, dua produk itu akan diusahakan bagi menembusi pasaran Asean.
“Kita cuba untuk pasarkan dalam negara-negara Asean dahulu. Sasaran jangka panjang adalah jual di seluruh dunia.
“Jika berjaya, kita akan tambah produk lain pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, mereka yang mengikuti kursus pertanian dan pertukangan turut dilatih berdikari.
“Mereka diajar buat perabot, tanam sayur-sayuran dan bela kambing dan itik,” katanya.
Beliau berkata, sistem diguna pakai di itu diaplikasikan dari pondok di Thailand dan Indonesia.
Katanya, tokoh korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu dialu-alukan membantu perjalanan maahad.
Terdahulu, seramai 300 penduduk sekitar Sik menghadiri program Jom Tadarus dan Free Market di maahad berkenaan anjuran bersama Briged Bakti Malaysia Cawangan Sik, Kedah dan Pulau Pinang.
Untuk sumbangan boleh disalurkan di nombor akaun Maybank 0201-000-5444-710 atau Bank Muamalat di nombor akaun 013-2329897 atas nama Maahad Tahfiz Taklim An-Nubuwah.
Sumber: Sinar Harian