Mahathir Canang Cerita Di Jepun, Mahu Jadi PM Sementara Sahaja


TOKYO - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut bercerita di Jepun tentang kesediaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya akan datang. 

Kata Dr. Mahathir, jika tidak ada calon dan dipersetujui oleh parti-parti  pembangkang yang lain, beliau mungkin dipilih sebagai Perdana Menteri sementara sahaja.

Mengikut laporan Nikkei Asian Review, Dr. Mahathir memberitahu  beliau memiliki banyak pengalaman dalam mengurus negara setelah menang lima kali berturut-turut dalam pilihan raya umum.   

Bersadarkan pengalaman itu, kata Dr. Mahathir, beliau mahu membantu pakatan  pembangkang menang pilihan raya akan datang.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata demikian semasa beliau menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke -23 Mengenai Masa Hadapan Asia anjuran Nikkei Inc. di  Tokyo Selasa semalam.

Dalam interbiu dengan jurnal Jepun itu, Dr Mahathir tidak menafikan beliau mungkin kembali memegang jawatan Perdana Menteri jika pembangkang bersetuju selepas menang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri menekankan bahawa fokus utama beliau adalah untuk membawa parti pembangkang menang kerana beliau mempunyai 'banyak pengalaman dalam memenangi pilihan raya'.

Isu siapa bakal calon Perdana Menteri dari kalangan parti pembangkang menjadi perhatian umum, apabila Dr. Mahathir 'menawarkan diri' untuk kembali memegang tampuk kuasa jika dipersetuju oleh parti-parti pembangkang. - Kedahnews.com