KOTA BHARU - Berat mata memandang-berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah gambaran kesusahan, keperitan hidup dialami empat keluarga dalam siri program Kita Kongsi di sini malam kelmarin.
Lebih meruntun hati apabila melihat dua beranak tinggal di dalam kegelapan di sebuah rumah usang yang sekali pandang tidak berpenghuni kerana masalah bekalan elektrik di Kampung Che Deris.
Sayu juga mengenangkan keadaan seorang ibu tunggal apabila sehingga jam 12 tengah malam masih memikirkan lauk apa yang akan dihidangkan waktu bersahur untuk anak-anaknya kerana mahu berjimat-cermat.
Seorang ibu tunggal, Wan Mah Kelthom Jaafar, berkata, tiada lauk mewah dihidangkan kepada anak-anaknya, hanya sekadar apa yang ada sahaja dijadikan juadah berbuka dan bersahur.
“Udang, ketam, jauh sekalilah. Memang tak pernah beli,” katanya yang kini tinggal di rumah PPRT di Kampung Che Deris.
Wanita yang berusia 51 tahun dan bekerja sebagai tukang sapu berkenaan menerima kunjungan dalam keadaan sebak bercampur gembira kerana ketika itu dia sedang memikirkan lauk untuk bersahur.
“Saya baru fikir nak beli telur. Alhamdulillah, tak sangka rezeki datang malam ini, banyak lauk dapat. Boleh panaskan dan simpan sehari dua lagi,” katanya yang memanfaatkan sebaik-baiknya gaji RM1,000 sebulan itu.
Program Kita Kongsi adalah inisiatif Hotel Grand River View (GRV), Kelantan Creatif TV dan Cafe Damia mengumpulkan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan bagi bersahur.
Sementara itu, dua beranak iaitu Wan Aishah Jaafar, 56 dan anaknya, Radiah Osman terpaksa tinggal dalam keadaan gelap gelita sejak lima tahun lalu, didakwa bekalan elektrik rumahnya dipotong kerana tidak mampu membayar bil juga antara penerima sumbangan.
Di waktu malam dua beranak yang menumpang di rumah usang itu bergantung dengan cahaya lilin, bagaimanapun ia tidak begitu selamat memandangkan kedua-duanya menghidapi gangguan emosi.
Turut menyelami kehidupan golongan kurang berkemampuan ialah Pengurus Jualan dan Pemasaran GRV, Raja Rusmin Raja Mahmod.
Aktiviti itu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat supaya tidak melupakan insan-insan sebegini.
“Setiap kali puasa, kita makan bermewah. Lagi teruk ada di antaranya membazir makanan. Jadi menerusi program ini kita kongsikan lauk pauk yang ada dengan mereka.
“Jika ada mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan makanan bolehlah sertai kami ataupun hantar sahaja di hotel. Masih ada yang memerlukannya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian