Maki Hamun, Siku Muka Polis, Lelaki Terima Padah


Kuala Lumpur - Seorang lelaki bukan saja mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis, malah bertindak biadab dengan menyiku muka anggota polis sejurus ditahan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit ditahan ketika pemeriksaan dilakukan anggota polis di Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, anggota polis menahan lelaki itu ketika mereka menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di lokasi kejadian.

“Lelaki itu dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu dilakukan, tiba-tiba suspek mengeluarkan kata-kata kesat.

“Dia berterusan memaki hamun anggota polis sehingga menarik perhatian orang awam yang berada di sekitar kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut melakukan provokasi dengan merakam video menggunakan telefon pintarnya ketika seorang anggota polis menulis saman berikutan suspek tidak memiliki lesen memandu.

“Anggota polis cuba menghalang suspek daripada merakam video namun lelaki itu mula bertindak agresif dengan menyerang dan menyiku muka anggota polis sebelum melarikan diri ke arah Wangsa Walk Mall, di sini.

“Pasukan bantuan polis segera dihubungi untuk mengesan suspek sebelum dia ditahan di hadapan sebuah premis di pusat beli-belah itu,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menghina polis,” katanya.

Sumber: Harian Metro