Malaysia Bukan Tempat Zionis Bertapak

Jerusalem's Jubilee

KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas memandang serius isu sambutan besaran Jerusalem's Jubilee yang dirancang diadakan di Melaka pada 15 hingga 18 Jun ini.

Ketua Penerangan Ulamak Pas Pusat, Mohd Asri Daud berkata, sambutan berkenaan dilihat berselindung disebalik upacara keagamaan yang ingin dianjurkan.

"Simbol kaki pelita yang mempunyai tujuh tiang lampu tersebut merupakan lambang kebesaran Yahudi termasuk Zionis sekarang ini.

"Tambahan pula, sambutan ini disokong penuh oleh Jerusalem House Of Prayer For All Nations (JHOPFAN). Sebelum ini dalam beberapa kenyataan terbuka, badan itu telah memberi sokongan terhadap usaha pihak Zionis menggali kawasan dibawah Masjid Al-Aqsa bagi meruntuhkan masjid kiblat pertama umat Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Asri yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan berkata, Pas  menghormati upacara agama dan hak bukan Islam di negara ini untuk melaksanakan apa sahaja program keagamaan berdasarkan hak yang diperuntukkan oleh perlembagaan dalam perkara 11.

"Akan tetapi apa sahaja agenda yang mencalarkan imej agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan sangat dikecam.

"Umat Islam seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang mencabuli bumi Palestin sejak zaman berzaman.

"Baitul Maqdis adalah tempat suci umat Islam yang akan dipertahan dengan gadaian nyawa," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau turut melahirkan sokongan terhadap kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang bertegas tidak mahu sambutan berkenaan diteruskan kerana terdapat unsur-unsur menggugat kestabilan dan keharmonian kaum.

Dalam masa yang sama,  pihak polis Melaka juga  telah mengambil tindakan awal menasihati penganjur sehingga sambutan tersebut dibatalkan.

"Tahniah kepada semua pihak yang prihatin dan bertindak segera menuntut pihak berkuasa membatalkan sambutan tersebut," katanya.

Sumber: Sinar Harian