Malaysia Negara Berdaulat, Tak Perlu Campur Tangan Asing - Mufti Kelantan





KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata umat Islam di negara ini perlu ambil iktibar dan pengajaran apa yang berlaku di negara lain sehingga menjadi porak peranda.

Beliau berkata, tidak dinafikan, mungkin ada pemimpin negara melakukan kesilapan, namun dalam Islam mengajar supaya memberi kemaafan kerana mereka sudah insaf.

"Sebarang kesilapan perlu dimaafkan kerana Islam mengajar kita saling bermaaf-maafan. Seperti pepatah 'bumi mana yang tidak ditimpa hujan'.

"Kalau kita tidak dapat yang (pemimpin) terbaik, memadailah kita dapat yang baik atau mungkin yang lebih baik, " katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan Sabtu lalu, meminta semua parti politik negara supaya menolak campur tangan kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara, yang bercanggah dengan ajaran al-Quran.

Beliau berkata, al-Quran mempamerkan ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman.

Mohamad Shukri berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat yang tidak sepatutnya diizinkan sebarang campur tangan kuasa asing berhubung hal ehwal negara.

"Musuh tidak akan senang melihat Islam bangkit, sebaliknya mencari jalan untuk melemahkan supaya orang Islam terus ketinggalan kebelakangan.

"Justeru, semua rakyat terutama umat Islam tidak boleh mengizinkan campur tangan kuasa asing, sebaliknya mencari cara untuk mengukuhkan kedudukan negara, " katanya.

Sumber : Berita Harian