KUALA LUMPUR - Skuad hoki lelaki negara mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia apabila membelasah China 5-1 di Pusat Hoki Lee Valley, London.
Ia hadir selepas Malaysia Tigers menutup cabaran Kumpulan B dengan menghimpun enam mata untuk berada di tempat ketiga, sekali gus menempah pertemuan kalah mati dengan naib juara Kumpulan A, India.
Razie Rahim sekali lagi menjadi ayam tambatan negara apabila menghasilkan dua gol masing-masing pada minit ke-19 dan 27.
Tiga lagi gol pasukan negara hasil sumbangan penyudah Faizal Saari seawal minit kedua serta jaringan Najmi Farizal Jazlan (m-12) dan Fitri Saari (m-51).
Dengan kemaraan ke peringkat suku akhir itu, bermakna Malaysia secara matematiknya meraih tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India yang dijadualkan pada penghujung tahun depan. Turut mengiringi Malaysia dari Kumpulan B adalah Argentina dan England dengan masing-masing akan berdepan Pakistan serta Kanada.
Satu lagi aksi suku akhir akan menyaksikan pertembungan antara juara tujuh kali dunia, Belanda dan China.
Sumber : BH Online