Mamat Khalid Bengang Karya 16 Puasa ‘Bocor’


KUALA LUMPUR - Penerbit dan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid bengang apabila naskhah terbaharunya, 16 Puasa ditonton secara percuma apabila telefilem super itu ‘bocor’ dan dimuat naik di internet.

Menurut sutradara itu, Puasa 16 lakonan Sabri Yunus, Aziz M. Osman dan Bell Ngasri itu dihasilkan beliau secara eksklusif untuk ditonton oleh pelanggan yang melanggani saluran Astro First Eksklusif sahaja.

“Dalam rasa kecewa melihat karya tersebut ‘dicuri’, sebenarnya saya bangga juga kerana 16 Puasa mendapat sambutan hangat penonton.

“Lebih ‘menarik’, saya tersenyum dalam menangis apabila drama ini juga dijual dalam bentuk DVD. Tak tahu nak gambarkan perasaan saya sebenarnya,” katanya memberi penjelasan mengenai nasib yang menimpa 16 Puasa.

Telefilem 16 Puasa yang mula ditawarkan di saluran Astro First Eksklusif pada 8 Jun lalu mengisahkan sekumpulan lelaki di sebuah kampung dari pelbagai latar belakang yang tidak berpuasa.

Pelbagai insiden lucu berlaku dalam drama berkenaan sehingga mengundang gelak ketawa selain diselitkan adegan yang sarat dengan sindiran.

Sementara itu, Mamat berkata, dalam usaha menangani masalah ‘kecurian’ naskhah berkenaan, pihak pengurusan Astro telah membuat laporan terhadap pihak berwajib.

Kata Mamat, selaku penerbit, dia telah memberi salinan drama berkenaan kepada Astro sebagai penyiar dan menjadi tanggungjawab stesen televisyen berkenaan untuk memelihara hak eksklusif tersebut.

“Saya berharap dalang di sebalik insiden ini dapat diketahui dan diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya. 

Sumber : Utusan Online