Mampukah Barisan Nasional Ranapkan Kubu DAP Di DUN Pujut?


KUCHING - Selepas meranapkan kubu kuat DAP di beberapa kawasan majoriti Cina pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11), Mei tahun lepas, Barisan Nasional (BN) sekali lagi memerlukan formula yang tepat untuk menawan kembali hati pengundi Cina di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.

Kemenangan besar pasukan BN pimpinan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, dengan slogan #Adenan Fever menguasai 72 daripada 82 kerusi DUN pada PRN11 itu, memberi petanda jelas bahawa masyarakat Cina tidak lagi mahu berada di persimpangan.

Kehilangan lima daripada 12 kerusi yang dikuasai DAP iaitu Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau serta kemerosotan undi majoriti di beberapa kawasan lain membuktikan bahawa parti pembangkang itu tertekan untuk mempertahankan kerusi DUN Pujut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, 4 Julai ini.

PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dari DAP oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lalu selepas beliau didakwa turut memegang kewarganegraan Australia.

Susulan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Pujut akan diadakan pada 4 Julai ini manakala tarikh penamaan calon pada 20 Jun ini.

Pada PRN11, Dr Ting mengalahkan 'calon langsung' dari BN, Datuk Hii King Chiong dengan majoriti 1,759 undi manakala calon PAS, Jofri Jaraiee memperoleh 513 undi dan calon Bebas, Fong Pau Teck mendapat 375 undi.

Ketika diwujudkan kerusi DUN Pujut pada pada pilihan raya negeri 2006, calon BN, Chia Chu Fatt dari parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang dengan majoriti 1,370 undi dengan mengalahkan Fong Pau Teck, ketika itu dari DAP.

Bagaimanapun, angin perubahan melanda politik Sarawak pada 2011 apabila pengundi memberi kemenangan kepada Fong mengalahkan Chia dengan majoriti 4,103 undi.

Kini, cabaran BN Sarawak, di bawah kepimpinan baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merangkap Ketua Menteri, adalah untuk meraih semula sokongan pengundi pembangkang dalam kalangan kaum Cina di DUN Pujut.

Parti SUPP, yang sebelum itu dilanda kemelut dengan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP), turut mampu memberi tentangan sengit kepada pembangkang apabila di bawah kepimpinan Datuk Prof Sim Kui Hian, ia berjaya memenangi tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

Di Pujut, Allahyarham Adenan cuba menyelesaikan kekusutan berhubung perebutan antara SUPP dan UPP di kawasan itu dengan meletakkan ahli perniagaan Datuk Hii King Chiong sebagai calon langsung BN pada PRN11.

Pada PRK, 4 Julai ini, mampukah BN Sarawak sekali lagi memberi kepercayaan kepada calon langsung dari UPP untuk merampas kerusi DUN Pujut atau Abang Johari dengan panggil mesra 'bang Jo' memilih wakil SUPP yang dapat menambat hati 20,070 pengundi di kawasan itu?.

Tumpuan kini terarah kepada Abang Jo mengatur langkah supaya meneruskan momentum kejayaan yang dicapai oleh Allahyarham Adenan bagi memperoleh kembali kepercayaan pengundi kaum Cina terhadap BN.

Keharmonian dan kestabilan negeri Bumi Kenyalang itu serta pendekatan membuka lebih banyak peluang berkaitan soal pendidikan kaum Cina dan ruang ekonomi yang lebih luas untuk mereka menjadi faktor penentu untuk kaum itu memilih calon BN.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata perkara pertama yang perlu dirungkai BN ialah calon mana yang layak mewakili BN, SUPP atau UPP.

Penganalisis politik itu berpendapat SUPP mungkin lebih layak kerana jenteranya telah lama bergerak di kawasan tersebut.

Bekas presiden SUPP, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata kemenangan BN di kerusi tersebut bergantung kepada calon yang dipilih.

"Perpaduan dalam kalangan parti komponen menjadi kunci kejayaan BN kerana pengundi sudah bijak untuk memilih wakil rakyat mereka," katanya.

Bagi BN Sarawak, Abang Jo beliau dilihat berada di landasan terbaik untuk menawan hati pengundi Cina apabila sejak di hari pertama beliau menduduki jawatan Ketua Menteri lagi, beliau berikrar untuk meneruskan segala yang direncanakan Allahyarham Adenan, yang rata-rata dilihat strategi yang diterima dengan baik oleh kaum Cina.

Politik Sarawak sebenarnya berkisar kepada keserasian, penerimaan, dan kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi terus kepada pemimpin nombor satu negeri, yakni Ketua Menteri, atau dengan perkataan lain segalanya berkisar kepada ketokohan Ketua Menteri di Sarawak.

Keputusan PRN lalu jelas menunjukkan inisiatif seperti pemantapan Bahasa Inggeris, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bantuan kewangan kepada sekolah Cina jelas diterima oleh masyarakat Cina untuk kembali ke pangkuan BN.

Isu-isu di Pujut lebih bersifat 'urban' seperti alam sekitar, integriti, pengangkutan, peluang pekerjaan dan isu-isu penurunan kuasa.

Semasa Allahyarham Adenan dilihat memberi lebih banyak tumpuan kepada isu-isu berkaitan kesejahteraan, kos sara hidup, kemudahan asas, perhutanan, dan juga integriti, Abang Jo dalam tempoh 100 hari pentadbirannya pula mengetengahkan soal kemudahan ICT, pembelian Empangan Bakun, penubuhan Bank Pembangunan Sarawak, pembinaan system transit aliran ringan (LRT), dan sebagainya.

Abang Jo berikrar akan terus mempelopori dasar Allahyarham Adenan dalam memacu kesejahteraan penduduk Sarawak. -Bernama