KUALA TERENGGANU - Pengalaman tahun pertama menyambut Aidilfitri bersama keluarga merupakan saat yang dinantikan pengacara televisyen, Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan.
Biarpun berjauhan dengan keluarga sendiri, keluarga mentua kini adalah segala-galanya bagi Mat Dan, malah tahun ini dia mengambil cuti sepanjang Ramadan dan tidak menerima banyak tawaran bagi memberikan tumpuan penuh terhadap keluarga.
“Tahun ni, sepanjang bulan puasa Mat Dan perlahankan sedikit karier bagi beri tumpuan penuh kepada keluarga, maklumlah, ini kali pertama beraya dengan isteri dan keluarga. Sebelum ni sambut hari raya berseorangan bersama keluarga angkat.
“Jadi, saya juga masih belajar persiapan apa yang nak dibuat sempena Aidilfitri nanti dan raya ini juga kami bercadang balik kampung sebelah arwah ayah mentua di Kijal,” katanya.
Menurut Mat Dan, beliau dan isteri, Nadifa Adnan akan memperuntukkan selama empat hari untuk menziarahi keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.
“Mungkin raya pertama nanti akan melawat rumah keluarga, saudara mara, raya kedua di rumah mak mentua dan raya ketiga ronda rumah rakan-rakan serta kawan-kawan belah isteri,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan hari raya tahun ini, selebriti yang berasal dari Britain ini berkata, tahun ini, dia dan isteri menempah empat pasang baju raya.
“Saya ada empat pasang baju raya (baju Melayu) dan isteri juga empat pasang baju kurung.
“Saya tempah semuanya, isteri pula ada yang beli siap dan ada yang tempah.
“Mungkin raya keempat dah tak pakai baju Melayu, jadi empat pasang tu cukup untuk pakai pada hari raya pertama hingga hari raya ketiga,” katanya.
Setelah menetap lama di sini, Mat Dan berkata, dia telah memahami makanan tradisional masyarakat Terengganu dan hampir semua menu tradisional telah dicubanya.
Duta alam sekitar Terengganu, Mat Dan bersama isteri, Nadifa ketika hadir pada program agihan bubur lambuk
“Nasi dagang memang antara menu wajib yang dicuba, selain itu, saya suka lemang, rendang, sate dan ketupat.
“Mengenai masakan isteri pula, bagi saya dia serba boleh dan semua yang dimasak oleh isteri sedap dan menyelerakan kerana dimasak dengan kasih sayang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai projek terkini yang dilakukannya, katanya, dia telah melancarkan jenama Pomade beliau sendiri, selain itu akan memulakan rakaman bagi program pengembaraan bersama Astro bermula Julai depan.
“Insya-ALLAH, selepas hari raya ini kita akan tengok balik dan beri tumpuan penuh kepada kerjaya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian