MCA Guna Tiga Strategi Rampas Balik Kerusi Kalah Pada PRU14


GELANG PATAH - MCA telah mempersiapkan tiga strategi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memenangi kembali kerusi-kerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang pada PRU13 lalu.

Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata MCA tidak akan pernah berputus asa dalam mencari cara dan langkah terbaik untuk memenangkan kembali kepercayaan rakyat dalam memastikan kesejahteraan khususnya masyarakat Cina terjamin.

"Antaranya kita mahu memanggil kembali ahli-ahli kita, menyampaikan sasaran, perancangan dan kejayaan yang telah kita kecapi.

"Kita juga mahu ahli-ahli kita lebih mahir dalam penggunaan media baharu terutamanya media sosial dalam memastikan ahli-ahli kita tidak mudah terpengaruh dengan fitnah-fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang.

"Kita juga telah menjalankan kaji selidik tentang keperluan dan sentimen rakyat terutama masyarakat Cina untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara amnya dengan memperkenalkan manifesto yang dapat diterima oleh semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Tahunan MCA Bahagian Gelang Patah di sini semalam.

 Tambahnya, MCA juga akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjelaskan sesuatu isu dan permasalahan kepada rakyat agar mereka sentiasa mendapat maklumat yang benar.

"Kita perlu mengambil langkah proaktif dan luar biasa sekiranya kita mahu memenangkan kembali hati rakyat dan pengundi kita. Salah satu usaha yang MCA telah laksanakan ialah dengan menganjurkan program 'Jom Gerak Teguh Bersama' dalam usaha mendekati rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan kawasan MCA Gelang Patah yakin akan dapat menumbangkan Lim Kit Siang pada PRU akan datang berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kawasan tersebut.

"Lim Kit Siang bukan sahaja tidak berkhidmat kepada masyarakat di sini malah sentiasa mengaburi masyarakat dengan informasi dan gambaran yang tidak betul mengenai kerajaan. Modus operandinya adalah menggunakan segala cara untuk mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah menggariskan beberapa petunjuk menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) dan Gelang Patah kini berada dalam kedudukan 10 terbaik dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi PRU14.

Pada PRU13 lalu, Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. - Bernama