Melaka United, Pulau Pinang Paling Ramai Tukar Pemain


PETALING JAYA - Seramai 41 muka baharu termasuk pemain import dijangka memberi kelainan bagi persembahan setiap 11 pasukan menjelang saingan kedua Liga Super bermula Julai ini.

Pada musim kedua perpindahan pemain Liga Malaysia yang bermula Mei hingga 11 Jun lalu, menyaksikan pasukan Melaka United dan Pulau Pinang paling banyak melakukan pertukaran pemain.

Pasukan Melaka dibarisi lima pemain baharu tempatan dan tiga pemain import.

Malah bukan itu sahaja, skuad Hang Tuah ini juga turut melantik jurulatih kelahiran Portugal, Eduardo Almeida sebagai pengendali baharu bagi menempuhi baki saingan liga musim ini.

Antara pemain baharu Melaka ialah Jasmin Mecinovikj (Macedonia), Felipe de Almeida Souza (Brazil), Marco Simic (Croatia). Manakala pemain tempatan baharu termasuk Norhakim Isa, NIcholas Swirad, Fandi Othman, Azinee Taib, S.Sivanesan.

Pulau Pinang yang kini berada di kedudukan tercorot liga, dilihat terpaksa membuat rombakan besar-besaran untuk menyelamatkan kedudukan mereka dengan mengikat tujuh pemain baharu.

Pemain-pemain import baharu skuad Harimau Kumbang ialah Brandon McDonald (Amerika Syarikat), Mark Hartman (Filipina), Sanna Nyassi (Gambia) manakala senarai tempatan termasuk Darwina Sazan, Azidan Sarudin, Elias Sulaiman dan R. Surendren.

Felda United yang kini berada di tangga keenam liga juga membuat perubahan senarai pemain apabila ketua jurulatihnya B.Sathianathan bersetuju mengikat Dino Djulbic (Australia), Ifedayo Alusegun Patrick Omosuyi (Nigeria), Thiago Augusto Fernandes (Brazil) dan pemain tempatan termasuk K.Prakabaran, Safwan Hashim dan Curran Singh Ferns.

Pasukan T-Team pula tampil dengan empat pemain baharu iaitu Joseph Yannick Ndjeng (Cameroon), Syed Sobri Syed Mohd, Ooi Shee Keong, dan Asrol Ibrahim.

Turut mendapat perhatian adalah pasukan Selangor yang kembali mendapatkan pemain veterannya Amri Yahya serta dua pemain import Rufino Segovia (Sepanyol) serta Andik Vermansah (Indonesia).

Tidak ketinggalan juga skuad E. Elavarasan di PKNS yang menukar tiga pemain import baharunya iaitu, Pak Kwang-ill (Korea Utara), Fabio Farreira (Portugal), Jammeh Abdou (Gambia) dan diikuti Khairul Azrin Khazali, Taufiq Ar Rasyid Johar.

Manakala Perak, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sarawak masing-masing hanya dua pertukaran pemain baharu.Dua pemain import Perak adalah dari Brazil - Leandro dos Santos dan Gilma da Silva.

Manakala Sarawak Sahil Suhaimi (Singapura) serta Milos Raickovic (Montenegro).

Dan muka baharu yang perkuatkan skuad JDT adalah Ignacio Insa serta Mohamad Ghaddar (Lubnan).

Skuad Tok Gajah pula, lebih selesa dengan pemain-pemain yang ada apabila ketua jurulatihnya Dollah Salleh hanya mengikat seorang pemain import, Yamil Romero bagi mengukuhkan barisan serangannya.

Selain itu Kelantan yang berdepan dengan kemelut tunggakan gaji turut mengikat pemain import baharu Abou Bakr Al Mel dari Lubnan menggantikan Ghaddar yang berpindah ke JDT, manakala status seorang lagi 'mat importnya' akan diketahui pada Sabtu.

Sumber : Mstar Online