Sebagaimana di negara lain, bulan Ramadan tahun 1438 Hijrah atau 2017 Masihi disambut dan diimarahkan oleh umat Islam di negara China.
Takdirnya, ibadah puasa di China pada tahun ini bersamaan dengan tarikh ibadah puasa di Malaysia, iaitu pada 27 Mei 2017 sedangkan pada tahun-tahun sebelum ini biasanya puasa dan Hari Raya disambut sehari lewat daripada sambutan di Malaysia. Terdapat sekitar 23 juta orang Islam di seluruh negara China yang terdiri daripada pelbagai suku kaum seperti Hui, Uygur, Kazakh, Usbek, Tajik, Kyrgyz, Salar.
Menjelang ketibaan bulan Ramadan, jawatankuasa masjid mula bersiap sedia untuk menghidupkan bulan berkat itu, khususnya untuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah. Ada juga masjid yang menyediakan hidangan sahur bagi jemaah yang kemudian terus melaksanakan solat Subuh berjemaah. Persatuan Islam China mencetak dan mengedarkan waktu berbuka puasa dan waktu Imsak melalui masjid-masjid di seluruh negara.
Oleh sebab bulan puasa pada tahun ini adalah dalam musim panas, tempoh berpuasa agak panjang, iaitu sekitar 16 jam setengah. Waktu Subuh begitu awal, iaitu pada sekitar pukul tiga pagi pada awal bulan dan kian awal setiap hari hingga pukul 2.30 pagi menjelang akhir bulan Ramadan. Waktu berbuka puasa pula pada pukul 7.30 malam pada awal bulan dan beransur lewat hingga pukul 7.50 malam menjelang akhir Ramadan.
Di bahagian utara China pula, tempoh berpuasa lebih panjang sehingga 18 jam. Saya pernah berada di Urumqi, ibu negeri Xinjiang pada musim panas beberapa tahun dahulu dan waktu Maghribnya pukul 8.30 malam sementara waktu Isyak pukul 10.30 malam. Umat Islam di situ hanya mempunyai waktu sekitar tiga jam untuk melaksanakan solat Isyak, solat tarawih dan tidur sebentar sebelum bersahur kerana waktu Imsaknya sekitar pukul 2 pagi.
Pernah juga saya berpengalaman berpuasa dalam musim dingin di China. Selaras dengan waktu siang yang lebih singkat daripada waktu malam, maka tempoh berpuasa dalam musim dingin jauh lebih singkat, iaitu sekitar 12 jam. Apa pun musimnya dan tempoh berpuasa yang panjang tidak pernah menjadi masalah kepada umat Islam di China kerana mereka telah melaluinya sejak sekian lama. Kata peribahasa, “Alah tegal dik biasa”. Yang penting ibadah ketentuan Allah perlu dilaksanakan dengan ikhlas.
Pada waktu berbuka puasa, umumnya masjid-masjid di China menjadi tumpuan umat Islam. Sesetengah masjid, seperti Masjid Haidian yang berhampiran dengan kampus Universiti Pengajian Asing Beijing mengatur urusan berbuka puasa dengan mendaftarkan jemaah yang ingin berbuka supaya dapat menyediakan hidangan yang cukup dan tidak membazir.
Di masjid lain, majlis berbuka terbuka kepada sesiapa yang sempat singgah. Pasar Ramadan yang menjual makanan dan minuman terdapat juga di kawasan petempatan Islam, sebagaimana di Malaysia.
Hidangan berbuka puasa di masjid di China jauh lebih sederhana daripada hidangan berbuka puasa di kebanyakan masjid di Malaysia. Biasanya majlis berbuka puasa bermula dengan tamar dan buah, dan buah yang menjadi pilihan kebanyakan masjid ialah buah tembikai. Sesudah itu didirikan solat Maghrib sebelum hidangan utama diedarkan.
Ada masjid yang menyajikan nasi berlauk, tetapi ada juga yang sekadar menghidangkan pau berinti daging dan sayur.
Solat tarawih di kebanyakan masjid di China ringkas walaupun 20 rakaat. Keadaan itu mengingatkan saya kepada kenangan bersolat tarawih di Malaysia pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kadar kelajuan imam membaca surah Fatihah dan surah sesudahnya agak menyukarkan makmum mengikuti pergerakan imam dengan sempurna.
Di Malaysia pada satu ketika dahulu dikenal ungkapan “Fatihah senafas”. Namun ada juga masjid yang imamnya menjaga solat tarawih dengan sempurna. Moreh atau jamuan sesudah solat tarawih dan witir yang menjadi tradisi di kebanyakan masjid dan surau di Malaysia ternyata tidak terdapat di China.
Ibadah beriktikaf di masjid, khususnya pada 10 malam akhir Ramadan menjadi amalan juga di kebanyakan masjid di China. Di sebuah masjid di bandar Jinan dalam provinsi Shandong yang pernah saya kunjungi, disediakan bilik khas di belakang dewan solat utama bagi jemaah yang ingin beriktikaf dengan lebih khusyuk.
Suasana bulan puasa di China umumnya tidak jauh berbeza daripada suasana dalam bulan-bulan lain, kerana majoriti rakyatnya bukan beragama Islam. Dalam kalangan orang Islam sendiri pun tidak ketara, tumpuan kepada urusan kehidupan sehari-hari. Namun syiar Islam tetapi dihidupkan dengan ibadah khusus dalam bulan Ramadan.
Keghairahan untuk menyambut Hari Raya pun tidak ketara seperti di Malaysia. Tidak tampak suasana orang mula sibuk membeli-belah atau gedung beli-belah dihiasi lambang-lambang sambutan Hari Raya.
Lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikan. Biar di mana dan apa pun cara sambutannya, Ramadan tetap dihidupkan di China untuk memenuhi tuntutan syariat Allah.
Sumber : Utusan Online