POLIS menyelamatkan lima lelaki warga Thailand dipercayai dipaksa mengemis di sekitar bandar raya Ipoh, malam semalam.
Mereka diselamatkan dalam serbuan dijalankan ke atas rumah di Taman Jaya Delima, Tanjung Rambutan, Ipoh.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Lima lelaki itu pula berasal dari Narathiwat, Thailand, dan berusia antara 18 hingga 28 tahun.
Turut ditahan lelaki 36 tahun yang berasal dari Narathiwat, Thailand, dipercayai menjadi penjaga kelima-lima lelaki berkenaan.
Difahamkan, semua mangsa memasuki negara ini sejak 11 bulan lalu dan dipaksa mengutip derma seawal 6 pagi hingga 5 petang.
Mereka mengemis di beberapa kawasan di bandar raya Ipoh, termasuk Medan Kidd, Gunung Rapat dan beberapa Bazar Ramadan.
Sumber-sumber berkata, serbuan ke atas rumah itu berikutan intipan sebulan yang dilakukan polis selepas menahan lelaki berusia 20-an dipercayai seorang daripada mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa dipaksa mengutip derma sekurang-kurangnya RM100 sehari.
Menurutnya, wang itu kononnya untuk membiayai pembinaan masjid di Narathiwat selain mengemis dengan memberikan alasan tidak makan beberapa hari.
Beliau berkata, suspek akan menghantar semua mangsa ke beberapa lokasi pada awal pagi dan mangsa pulang ke rumah berkenaan menaiki teksi.
“Jika dapat RM100 sehari, suspek akan beri RM20 sebagai duit makan sehari manakala selebihnya disimpan,” katanya.
Sumber itu berkata, polis turut merampas Volvo lama dipercayai digunakan untuk menghantar semua mangsa dan RM924 tunai.
Sumber: Harian Metro