AMBOI... banyaknya baju raya? Ingatkan Che Ta dan Zain Saidin saja yang muncul dengan puluhan koleksi baju raya setiap tahun. Pelakon Mira Filzah pun sama nampaknya.
Mira Filzah berkata dia bakal mengayakan lebih 20 pasang baju sepanjang Syawal ini.
Pelakon drama Meh Sandar Pada Aku ini berkata, baju-baju tersebut ditaja oleh jenama tekstil terkenal, Ariani apabila dia dilantik menjadi duta jenama itu.
"Alhamdulillah, tahun ini saya tidak perlu beli baju raya kerana saya dapat lebih 20 helai baju. Bolehlah saya gunakan untuk hadir sepanjang Aidilfitri ini," ujarnya kepada mStar Online.
Bercerita tentang Aidilfitri, pelakon berusia 24 tahun ini memberitahu sudah sepakat dengan keluarganya untuk menggayakan pakaian berwarna sama.
"Setiap tahun kami akan menempah baju daripada kain yang sama sekeluarga. Ia menjadikan ia lebih meriah dengan semangat dan keterujaan untuk sambutan tersebut.
"Tahun ini masih mengekalkan tema warna tetapi kain lain-lain, mereka tahu saya sudah ada baju sendiri," ujarnya.
Mira yang beraya di Perak memberitahu kuih kegemarannya ialah wajik dan seri muka yang dibuat oleh keluarga sebelah ayahnya.
"Setiap tahun kuih wajib yang pasti akan ada ialah wajik dan seri muka, ia memang kuih kegemaran kami sekeluarga. Susah nak cakap sedap kuih itu lain macam," ujarnya.
Sumber : Mstar Online