PETALING JAYA - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat isu siapa yang layak menjadi calon Perdana Menteri ke-7 daripada Pakatan Harapan (PH) tidak perlu dibincangkan secara terbuka.
Lebih baik jika cadangan itu dibincang secara tertutup kerana jika bercakap secara terbuka ia akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada rakyat, " kata Muhyiddin.
Beliau yang juga Timbalan Menteri menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan wartawan tentang 'pertikaian' mengenai jawatan itu sekarang ini.
"Pada pandangan peribadi saya, lebih baik perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka kerana ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu," katanya sepertimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini semalam.
"Mereka (rakyat) nak sokong kita, tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya semalam.
Isu calon Perdana Menteri daripada pakatan pembangkang ditimbulkan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini menamakan Muhyiddin tetapi akhir-akhir ini beliau sendiri (Dr. Mahathir) menawarkan diri untuk sementara waktu jika tiada calon yang lain.
Cadangan Dr. Mahathir itu bagaimanapun tidak 'disenangi' oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah disingkirkan oleh Dr. Mahathir semasa krisis kepimpinan UMNO pada 1998. - Kedahnews.com