Mukhriz Nafi Mahathir Dilantik Pengerusi Pakatan Harapan


PETALING JAYA -Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dilantik sebaga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Sepertimana wakil kami (PPBM) telah menjawabnya apabila ditanya media mengenai senarai yang tersebar itu, yang pertama, senarai itu tidak dibocorkan atau didedahkan mana-mana wakil PPBM, " katanya.

Beliau juga turut menafikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantikan sebagai Presiden PH sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar penasihat gabungan itu berdasarkan senarai struktur organisasi PH yang tersebar.

“Kita ada senarai yang berbeza daripada yang tersebar itu dan ia tidak sama,” katanya semasa selepas Mesyuarat Majlis PH di sini semalam.


Dalam senarai pucuk pimpinan PH yang tersebar itu, selain tiga pemimpin terbabit, Presiden PKR, Datuk Seri  Dr Wan Azizah Wan Ismai dikatakan menjadi Timbalan Pengerusi PH, sementara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PH.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) , Mohamad Sabu pula dilantik sebagai Naib Presiden PH.

Pada mesyuarat semalam, Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah memberitahu Pakatan Harapan mempersetujui senarai kepimpinannya yang akan diumumkan dan didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selewat-lewatnya minggu depan.

Senarai itu, kata beliau disepakati oleh keempat-empat parti komponen gabungan itu selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan berbincang secara panjang lebar semua berkaitan isu PH  khususnya struktur organisasi.

“Mesyuarat kali ini mencapai kata sepakat yang baik. Beberapa keputusan penting secara bersama telah dipersetujui," kata Dr. Wan Azizah sepertimana yang dilaporkan oleh FMT.

“Pakatan Harapan akan mengumumkan barisan kepimpinan utama Pakatan Harapan untuk dihantar kepada ROS selewat-lewatnya minggu depan,” katanya selepas mesyuarat majlis itu  di ibu pejabat PPBM semalam yang dihadiri majoriti pemimpin utama empat parti komponennya, termasuk Dr Mahathir.

Beliau yakin barisan kepimpinan yang akan menerajui PH mampu membawa perubahan kepada politik negara.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan calon Perdana Menteri yang akan mewakili pakatan pembangkang belum dibincangkan secara terperinci.

Sumber: FMT